Posted by admin on March 7th, 2010
Fahami Istilah Berniaga-Siri 1
Filed under: Tips Kejayaan

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera
Minggu ini saya terpanggil untuk menulis sesuatu untuk buah fikiran bersama. Istilah berniaga ini perlu difahami terutama bagi mereka yang ingin masuk ke bidang perniagaan. Ia sebenarnya lebih dari urusan jual beli.
Menjadi seorang perniaga anda perlu ada asas ilmu perniagaan. Saya sering dihujani dengan pelbagai soalan. Apabila mereka buntu dan ingin meminta pandangan. Maka saya berikan. Tetapi kemudian mereka memberi pelbagai alasan dalam perlaksanaan. Terus terang saya katakan, berniaga ini memang tidak mudah tapi ia sangat menyeronokkan jika anda telah mula serasi dengannya.
Saya secara peribadi terlibat dalam bidang perniagaan ini sejak bangku sekolah lagi. Dalam lewat tahun 80an, ibubapa saya berniaga pasar malam. Kami menjual makanan. Keuntungan sehari mencecah RM70 ke RM90. Agak mewah pada waktu itu. Cuma ia tidak berkekalan, selepas 7 tahun dijalankan, perniagaan kami terpaksa ditutup apabila kesihatan arwah bapa saya tidak mengizinkan. Semasa itu saya tidak memiliki sebarang ilmu perniagaan. Walau bagaimanapun ia memberi satu pengalaman yang bermakna pada saya
Terlebih dahulu saya ingin nyatakan di sini; saya akan beri ulasan dalam bentuk santai sahaja. Saya rasa ia lebih mudah difahami oleh pembaca.
Peniaga sebagai penyelesai masalah
Peniaga perlu menyediakan satu khidmat yang dapat menyelesaikan masalah masyarakat. Macam mana pula tu?
Contoh situasi; Ramli seorang pegawai bujang yang terlalu sibuk dengan urusan pejabatnya. Lusa dia perlu ke Sabah untuk menghadiri mesyuarat. Apa yang dia perlukan sekarang ini ialah seorang yang dapat membasuh dan menggosok pakaiannya untuk persediaan ke Sabah.
Alhamdulillah anda menyediakan perkhidmatan dobi. Maka Ramli mengambil pilihan menghantar pakaian kepada anda untuk diuruskan. Nah.. satu masalah pelanggan anda telah selesai.

Begitu juga dengan semua peniagaan yang lain. Sebagai seorang peniaga anda adalah penyelesai masalah pelanggan. Secara tidak langsung anda telah membantu pelanggan. Pendapat sesetengah orang hanya dengan menjual makanan kesihatan sahaja kita dapat membantu orang lain adalah meleset sama sekali (sesetengah multilevel berpendapat sebegini). Masakan perniagaan memberi 9/10 keberkatan.
Cuma anda perlu memastikan perniagaan yang anda buka dapat menyelesaikan masalah masyarakat di tempat anda. Di sinilah wujudnya kaji selidik dan sebagainya. Jika tidak, anda gagal menyelesaikan sebarang masalah dan andalah yang bermasalah.
Peniaga mesti suka berkerja
“Aku malas kerja dah… aku nak buat bisnes” , kata-kata ini boleh dikatakan satu pendapat yang sangat suntuk tentang perniagaan. Seperti yang saya katakan di awal tadi, perniagaan bukan keuntungan dan jual beli sahaja.
Merujuk kepada topik sebelum ini, anda adalah seorang yang menyelesai masalah pelanggan. Maka anda perlu menjadi seorang peniaga yang boleh diharapkan. Oleh itu anda perlu bekerja untuk menyelesaikan masalah pelanggan. Lebih ramai pelanggan, lebih banyak kerja yang anda perlu lakukan.
Kerja menyelesaikan masalah ini bukanlah satu kerja yang mudah. Ada sesetengah mengatakan, “susahlah berniaga nasi lemak ni.. nak kena masak banyak lauk.. kalau tak de pilihan lauk orang tak datang pulak”. Orang yang seperti ini dikatakan gagal sebelum berniaga. Masalah mereka lebih besar dari masalah pelanggan. Oleh itu, bagaimana mereka hendak selesaikan sebarang masalah pelanggan? Kalaulah masalah itu mudah, pastinya pelanggan anda buat sendiri. Maka mereka tidak perlukan anda sama sekali.

Jika diteliti, kenapa pelanggan anda memerlukan khidmat anda? Pastinya pelanggan perlukan anda untuk memudahkan kerja mereka. Pelanggan bayar anda untuk tujuan tersebut. Segala kerja yang remeh temeh itu, anda telah selesaikan. Maka anda mesti menjadi peniaga yang suka berkerja dan tiada alasan untuk itu. Jika tidak, anda akan hampakan pelanggan anda.
Saya rasa cukup perkongsian saya setakat ini. IsyaAllah saya akan sambung sub-topik selanjutnya dalam siri yang akan datang. Semoga perkongsian ini dapat memberi input yang berguna untuk pembaca semua. Sebelum terlupa, untuk memastikan anda mendapat post-post akan datang dari kami, sila daftar emel di ruangan atas kanan dan sahkan ia di emel anda.
Jika ada kelapangan saya juga menjemput anda menghadiri Seminar PERCUMA Evolusi Minda. Seminar hampir 3 jam ini, kami perkongsikan ilmu minda separa sedar , metafizik, tips-tips kejayaan dan perkaitan minda & wang. >Klik Sini< untuk keterangan lanjut, jadual dan daftar secara online.
Yusmi Yusof
Pengurus Evolusi Minda



March 8th, 2010 at 8:25 am
Barulah nampak istilah berniaga sebenar. Yang saya sedar sebelum ni istilah berniaga hanya berdasarkan teori iaitu berlakunya pertukaran antara barang dengan wang atau barang dengan barang dengan persetujuan 2 belah pihak. So kita hanya faham setakat itu sahaja dan tak tahu tujuan sebenar yang tak boleh diabaikan.
Berniaga bukan setakat jual beli tapi hendaklah disertakan dengan servis terbaik yang membuatkan pelanggan berasa amat puashati. Ini akan membuatkan pelanggan tersebut akan datang semula dan secara tak langsung mencanang kepada orang lain.
Lebih faham tentang istilah berniaga maka lebih mudah kerja yang dilakukan dan lebih mudah dpt pelanggan.