Daya Fokus

Filed under: Ilmiah

Assalamualaikum dan Salam Evolusi,

Bertemu lagi dalam post blog minggu ini, para pembaca yang dikasihi. Minggu ini saya terpanggil untuk menulis tentang betapa pentingnya fokus. Dalam banyak urusan yang kita lakukan kita selalu tidak mengambil kira tentang fokus. Malah terlalu ramai orang tidak tahu apa itu fokus dan bagaimana hendak fokus apatah lagi kepentingan fokus.

Baru-baru ini saya terbaca tentang kekalahan atlit badminton kita ditangan pemain Jepun. Kemudian sekali lagi kita dikecewakan dengan kegagalan di separuh akhir ketika melawan China. Saya mula berfikir, apa agaknya yang kurang dengan atlit kita bukan sahaja bidang badminton tetapi secara keseluruhan. Boleh dikatakan atlit kita semuanya cukup terjaga, baik dari segi ganjarannya, jadual latihannya, pemakanannya, rawatan kesihatannya, motivasinya, pakar psikologinya. Apa lagi yang diperlukan untuk menjadi juara demi juara dan seterusnya mengekalkan kejuaraan tersebut. Terserlah di persada dunia, memasuki liga piala dunia, seiring dengan atlit luar. Pada pendapat saya, bukan sahaja atlit tetapi semua orang yang inginkan kejayaan luarbiasa perlu memiliki kuasa fokus yang hebat.

Salah seorang peserta Seminar Asas saya baru-baru ini En Azwira berkongsi dengan saya sepotong ayat yang beliau baca daripada sebuah buku yang bertajuk ‘Dare To Win‘ tulisan Jack Canfield dan Mark Victor Hansen, ayat tersebut menyatakan tentang fokus; “Daya minda yang tertumpu merupakan salah satu kuasa yang paling kuat di alam semesta ini.” Ini menunjukkan bahawa daya atau tenaga minda yang tertumpu iaitu FOKUS merupakan satu kuasa yang sangat kuat. Kuasa ini mampu mengalahkan apa juga halangan yang mendatang insyaAllah.

Dalam satu buku lain yang saya baca, bertajuk ‘Heal Your Mind, Rewire Your Brain’, penulisnya menceritakan tentang Tiger Woods, pemain golf terkenal dunia, sejak berumur 14 tahun beliau telah mula menjalani latihan dengan seorang pakar psikologi yang mengajarkan beliau teknik visualisasi, relaks, dan fokus untuk meningkatkan mutu permainan serta kemahiran beliau. Beliau juga berlatih pelbagai teknik minda untuk mempertajamkan lagi fokusnya.

Menurut buku tersebut lagi, ayah Tiger Woods juga membantu anaknya meningkatkan tenaga fokus dengan membuat pelbagai gangguan ketika Woods sedang memberi tumpuan kepada permainannya dengan cara batuk dengan kuat dan menggoncangkan duit syiling. Kaedah ini melatih minda Woods agar fokus pada permainan tanpa menghiraukan gangguan persekitaran. Latihan fokus ini jugalah yang menjadi kunci utama kejayaan Tiger Woods. Malangnya skandal seksnya telah melarikan fokus Woods. Lihat apa yang berlaku apabila fokus Woods lari, dengan sendirinya beliau tidak dapat beraksi sebagai juara lagi. Beliau menghadapi zaman kejatuhan. Untuk Woods bangun semula beliau terpaksa bekerja keras dan membetulkan fokusnya semula.

Kisah yang sama juga dikongsi oleh Usahawan Dunia Donald Trump, dalam bukunya ‘How To Be Rich, beliau menceritakan punca utama kejatuhan empayarnya pada tahun 1980an adalah akibat FOKUS beliau lari. Pada ketika itu beliau tidak sangka bahawa tanpa memberi fokus yang cukup empayar yang dibinanya boleh jatuh. Beliau jatuh dan kerugian USD9.2billion. Bayangkan suasana tersebut pembaca sekalian. Namun atas kesedaran yang cepat beliau berusaha menajamkan semula fokusnya dan memberi tumpuan tanpa berbelah bagi kepada perniagaannya, beliau mampu bangun semula dan terus berjaya sehingga hari ini dengan FOKUS.

Sesungguhnya hal ini juga dinyatakan dalam Surah Al-Mukminun ayat 1-3, Allah berfirman; “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (yaitu) orang-orang yang khusyuk’ dalam solatnya. Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna.” Kalau dilihat dalam ayat ini khusyuk yang Allah sebut itu dalam ertikata lain adalah merujuk kepada fokus.

Dalam ayat ini juga solat merupakan ibadah yang dituntut. Untuk mendapatkan kejayaan dan keberuntungan dalam kehidupan manusia sememangnya disuruh fokus dalam pekerjaannya. Keadaan ini juga merujuk pada setiap pekerjaan yang kita lakukan. Mencari rezeki juga merupakan ibadah yang dituntut. Ini bermakna Allah meminta kita sentiasa fokus dalam kehidupan untuk memperolehi keberuntungan dunia dan akhirat.

Sayangnya ramai orang memandang remeh soal fokus ini. Pada pendapat mereka apa yang diperlukan adalah berusaha keras. Tetapi percayalah, usaha tanpa fokus adalah sia-sia. Pemikiran yang berkecamuk tidak akan memberi hasil seperti yang diharapkan.

Oleh yang demikian saya sarankan kepada semua pembaca umumnya dan para atlit kita khususnya, buatlah latihan menajamkan fokus agar mampu mengoptimumkan prestasi dan seterusnya mempamerkan permainan yang hebat. Sayangilah peminat anda sebagaimana mereka menyayangi anda.

Bayangkan peminat sanggup menghabiskan wang dan masa untuk datang memberikan sokongan padu pada anda, alangkah hampanya mereka apabila permainan anda mengecewakan. Sebagai rakyat Malaysia saya juga selalu mengharapkan dan mengimpikan untuk melihat sukan Malaysia diperingkat antarabangsa bukan sahaja sebagai pasukan yang mencari pengalaman tetapi pemenang dan seterusnya juara peringkat dunia.

Hal ini mampu dicapai dengan kehendak untuk menang yang kuat dan diikuti dengan fokus yang cukup tajam. Yakinlah, daya minda yang tertumpu merupakan kuasa yang paling kuat di alam semesta ini. Kepada semua rakyat Malaysia, dan athlit negara, saya sentiasa mendoakan kejayaan buat anda, ingat Anda Adalah Apa Yang Anda Fikirkan.

Jika anda mahukan keterangan lanjut tentang Ilmu Fokus ini, Evolusi Minda menjemput anda untuk hadir ke Seminar PERCUMA Evolusi Minda yang berlangsung hampir setiap minggu. Anda boleh >Klik Sini< untuk rujuk jadual dan berdaftar secara online. Seminar hampir 3 jam ini juga memperkongsikan ilmu tentang tenaga, ilmu minda separa sedar, metafizik dan tips-tip kejayaan. InsyAllah Puan Hajjah Arina akan jelaskan perkaitan secara langsung ilmu-ilmu tersebut dengan kehidupan seharian mahupun kejayaan. Anda juga berpeluang bertanya beliau jika ada sebarang kemusykilan.

Juga boleh hubungi En. Yusmi untuk pengesahan tempat di talian 013-3 778004 (TEL/SMS).


Posted by admin on May 31st, 2010

Permalink

4 Responses to “Daya Fokus”

  1. Mazoorie Says:

    Slm…asyik bangat baca artikel puan, maknanya saya ni dah boleh fokus apa yg saya buatkan,:) bagi saya fokus ni kena ada minat dulu barulah boleh fokus.
    Khusyuk dalam solat tu adalah latihan utk menajamkan fokus kitakan, sbb tu solat tu tiang agama …barulah saya nampak sikit2 rahsia khusyuk dlm solat ni…masya’Alah…TQ puan.

  2. zakwan Says:

    ape yang boleh saya amalkan untuk meningkatkan daya fokus?,Insyallah jika ada rezeki sampai juga ke seminar Puan Hajjah Arina.

  3. protocolunique Says:

    yes amat ptg tetapi dlm kajian pemikiran sistemik ialah FOCUS pd yg simple everywhere all time but need DEFOCUS also

  4. aswanism Says:

    Fokus itu hebat!salam ziarah….

Leave a Reply

*
= 4 + 4

CommentLuv badge
 characters available

 

Copyright © 2008 Evolusi Minda. All rights reserved.

Designed By: Hive Designs

Ported By: Free WordPress Themes and Best Linux Web Hosting